comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan lelaki ugut ejen rumah sewa

Foto hiasan

AMPANG JAYA: Berang tidak dapat masuk ke rumah kondominium sewanya di Ampang Ukay, di sini, selepas kunci pintu ditukar menyebabkan seorang lelaki memarahi dan mengugut ingin memukul ejen rumah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pada jam 5 petang, pihak pengurusan menghubungi ejen rumah berusia 32 tahun memaklumkan suspek ingin masuk ke rumah sewanya.

Menurutnya, mangsa kemudian pergi ke kondominium untuk berjumpa dengan suspek.

“Suspek bertanya kenapa menukarnya namun mangsa memberitahu pemilik rumah tidak menukar kunci pintu dan dia tidak mengetahuinya.

“Mangsa meminta suspek untuk mencuba sekali lagi namun pintu masih tidak boleh dibuka.

“Kemudian suspek menuduh mangsa mengunci rumah itu dan mula bertindak agresif serta mengacah untuk menampar, mengugut untuk memukul dan membunuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi mengelakkan keadaan lebih teruk, mangsa beredar dari tempat kejadian dan membuat laporan polis.

“Bertindak atas maklumat kejadian itu, Bahagian Siasatan Jenayah menangkap lelaki berusia 35 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, jam 2 pagi ini.

“Ujian awal saringan air kencing adalah negatif sebarang dadah dan suspek mempunyai satu rekod lampau jenayah tidak dikehendaki,” katanya.

Katanya, motif ugutan ini adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati kerana kunci pintu rumah sewanya ditukar dan dia tidak dapat masuk ke dalam rumah.

“Permohonan reman ke atas suspek dibenarkan selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini