comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan penjenayah dikehendaki bersama dua pistol, 54 peluru hidup

Muhamad Zaki (kiri) menunjukkan rampasan pistol dan dadah dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, hari ini. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Polis menahan seorang penjenayah dalam senarai dikehendaki bersama dua pucuk pistol dengan 54 biji peluru hidup dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tanjung Chat, di sini jam 11 malam tadi.

Sebanyak 550 biji pil Erimin 5 dan 1,200 pil yaba bernilai RM17,500 dirampas dalam serbuan berkenaan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata pihaknya menjalankan risikan sebelum menyerbu kediaman berkenaan dan menahan suspek berusia 36 tahun itu.

Katanya, pemeriksaan awal menemui semua jenis dadah terbabit yang disimpan di dalam sebuah beg di dapur rumah.

“Polis kemudian menemui dua pucuk pistol jenis Beretta Gardone VT dan 357 Magnum Cartridge yang disorok di dalam laci.

“Suspek ditahan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 18 Mac nanti bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata api Penalti Lebih Berat 1971 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam kali.

“Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dengan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimun RM 10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Begitu jugu, dengan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan minimum 15 sebatan.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya.

Beliau berkata, polis masih menjejaki kumpulan penjenayah yang berkaitan dengan suspek.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini