comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan kumpulan aktif pecah rumah

PETALING JAYA: Polis menumpaskan satu kumpulan penjenayah yang dipercayai aktif dalam kegiatan pecah rumah di daerah ini, sejak beberapa bulan lalu.

Dua ahli kumpulan yang berusia 25 dan 28 tahun ditahan dalam satu rondaan polis di Kota Damansara, Sabtu lalu manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata pihaknya kini giat mengesan suspek dikenali sebagai A Kesavan berusia 34 tahun bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan terhadap dua suspek, kita rampas pelbagai jenis barang yang digunakan untuk pecah rumah seperti parang, pisau dan gergaji. Semakan kemudian mendapati dua tahanan memiliki rekod jenayah lampau.

“Kita dalam proses mendapatkan perintah reman terhadap suspek berkenaan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Dalam kes berasingan, Nik Ezanee berkata, polis sedang memburu suspek dikenali sebagai M Kiisho berusia 31 tahun dipercayai ketua kumpulan ‘Geng Botak’ yang terbabit dengan kes pecah pejabat sekitar Petaling Jaya, sejak tahun lalu.

“Geng itu dianggotai sembilan orang dengan diketuai Kiisho. Empat orang ditahan pagi tadi dan bakinya diberkas minggu lalu,” katanya.

Loading...
Terkini