comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan suami isteri, jumpa ganja 1kg dalam kereta 

Foto hiasan

KANGAR: Polis menahan sepasang suami isteri dan merampas satu kilogram ganja di Kaki Bukit, di sini, semalam.

Mereka yang masing-masing berusia 27 dan 21 tahun itu ditahan jam 4.30 petang ketika sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Padang Besar melakukan serbuan terhadap suspek yang menaiki Proton Waja di tepi jalan masuk kebun mangga Harumanis di Jalan Sahabat.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, pemeriksaan menjumpai beg yang di dalamnya terdapat bungkusan kertas aluminium berwarna emas berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja.

“Ganja itu diletakkan di lantai kaki sebelah kiri penumpang belakang yang mana kita menganggarkan ia seberat satu kilogram.

“Siasatan awal kita mendapati kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di kawasan setempat pada awal tahun ini.

“Bekalan ganja itu dibawa masuk menggunakan ‘laluan tikus’ di sekitar sempadan Malaysia-Thailand untuk pasaran sekitar daerah Padang Besar,’ katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, siasatan awal pihaknya mendapati suspek dipercayai memperolehi dadah berkenaan melalui seorang lelaki dari negara jiran.

“Nilai rampasan ganja adalah berjumlah RM3,100 dan bagi ia boleh digunakan oleh 4,000 penagih.“Hasil semakan mendapati suspek lelaki mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah manakala isterinya pula tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Ujian saringan awal yang dijalankan dapati suspek lelaki positif dadah jenis methapathemine dan isterinya pula adalah negatif,” katanya.

Suspek kini direman untuk siasatan lanjut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Mohd Shokri memohon kerjasama orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah dan dadah di kawasan mereka melalui ‘hotline’ Polis Daerah Padang Besar di nombor 04-9872222 atau mana jua balai polis berdekatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini