comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan tiga lelaki langgar kereta petugas baiki bahan kempen

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga lelaki warga tempatan di Larkin, awal pagi tadi, selepas disyaki melanggar sebuah kereta petugas yang baharu sahaja menjalankan kerja membaiki bahan kempen sebuah parti di Taman Mount Austin, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek berusia antara 34 dan 35 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.30 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

“Kita berjaya membuat tangkapan tiga lelaki warga tempatan bersabit kejadian yang berlaku jam 4.30 pagi semalam yang mana kereta suspek melanggar kereta mangsa selepas mangsa menjalankan kerja membaiki ‘billboard’ sebuah parti di kawasan Taman Mount Austin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada salah faham antara suspek dan mangsa yang berusia 30 tahun itu.

“Semua suspek menganggap kereta dinaiki mangsa adalah kereta yang dinaiki oleh tiga warga asing yang berselisih faham dengan mereka di sebuah restoran sebelum itu,” jelasnya.

Menurut Kamarul Zaman, hasil semakan mendapati seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, semua suspek kini ditahan reman selama dua hari sehingga esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Kamarul Zaman meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Asri Jamalin di talian 014-6270324 atau hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323.

Loading...
Terkini