KUCHING: Polis menahan tiga ahli kumpulan geng Dedek Shah disyaki melakukan kegiatan samun menggunakan senjata yang mensasarkan kedai serbaneka 24 jam di sekitar Kuching.
Kesemua suspek terdiri daripada rakyat tempatan berusia 27 hingga 43 tahun itu ditahan disekitar Kuching menerusi satu operasi khas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching pada 15 September lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, susulan penahanan kesemua susek terbabit, polis berjaya menyelesaikan enam kes melibatkan empat kes samun, dan masing-masing satu kes kecurian kenderaan serta satu kes curi dalam bangunan melibatkan kerugian berjumlah RM7,000.
Jelasnya, modus operandi yang digunakan suspek ialah dengan menakutkan mangsa menggunakan pisau pemotong daging selain menggunakan topi keledar dan penutup muka bagi melindungi identiti ketika melakukan jenayah.
“Jadi ini kumpulan baru mula hendak berjinak-jinak dan dalam siasatan kita menyelesaikan enam kes.
“Kita juga akan siasat lain-lain kes yang mempunyai modus operandi yang sama mensasarkan kedai-kedai 24 jam dan menggunakan topi keledar, topeng muka dan juga bersenjatakan pisau pemotong daging,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di sini.
Beliau berkata, kesemua suspek kini direman lima hari bermula 16 hingga 21 Septrember depan bagi membantu siasatan kes berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.
Mengulas kes rusuhan di tempat letak kenderaan pejabat daerah Kanowit, Mohd Azman berkata siasatan terperinci sedang dilakukan bagi mengesan suspek yang terlibat.
Bagaimanapun katanya, tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini.