comscore
Tumpuan :
Jenayah

‘Port’ baharu sindiket edar dadah antarabangsa di Pulau Melaka tumpas

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Taktik sindiket dadah antarabangsa menjadikan Pulau Melaka dekat Melaka Raya di sini sebagai ‘port’ baharu mengedar syabu ke luar negara gagal, apabila ditumpaskan dalam satu serbuan di pulau itu awal pagi tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, serbuan dilakukan sepasukan 18 pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6, Johor kira-kira jam 12.10 pagi.

Menurutnya dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 50 tahun di dalam sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan sebelum merampas dadah syabu seberat 23.1 kilogram bernilai RM834,768.

“Semua dadah itu ditemui dalam 22 bungkusan berwarna kuning yang disimpan di dalam tiga beg galas berasingan dibawa lelaki berkenaan yang dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’.

“Risikan mendapati, aktiviti sindiket pengedaran dadah ini adalah untuk pasaran luar negara dan kita percaya ini adalah kali pertama mereka beroperasi di Pulau Melaka selepas lokasi biasa perairan Tanjung Kling sering ditumpaskan polis sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Komander Briged Tengah PGA, Asisten Komisioner Chew Tham Soon.

Menurut Zainol, kesemua dadah itu dipercayai boleh digunakan oleh 115,720 penagih.

“Ujian saringan air kencing mendapati, suspek negatif dadah namun mempunyai empat rekod jenayah lampau.

“Saspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 28 November ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau meminta masyarakat terus membantu polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di kawasan mereka.

Loading...
Terkini