comscore
Tumpuan :
Jenayah

Premis pelacuran beroperasi lebih 30 tahun diserbu

FOTO: Ihsan JIM

PUTRAJAYA: Sebuah premis yang dijadikan pusat pelacuran dan telah beroperasi lebih 30 tahun di Jalan Pasar Baru, Kuala Lumpur tidak serik apabila diserbu Jabatan Imigresen Khamis lalu.

Pelanggan hanya perlu membayar RM80 hingga RM150 untuk satu jam bagi memilih wanita warga asing yang dilanggan manakala bayaran akan dilakukan di dalam bilik di tingkat lain.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata,operasi dijalankan berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama tiga minggu.

Menurutnya, pasukan operasi berjaya menahan 51 warga asing terdiri dari 37 wanita warga Vietnam, tiga wanita warga Indonesia dan seorang wanita warga Myanmar.

JABATAN Imigresen Malaysia menyerbu sebuah premis pelacuran di di Jalan Pasar Baru, Kuala Lumpur dan menahan 51 orang kelmarin. FOTO: Ihsan JIM

Turut ditahan lima lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Vietnam dan masing-masing seorang lelaki warga India, lelaki warga Pakistan dan lelaki warga Indonesia berusia dalam lingkungan 24 hingga 54 tahun.

“Modus operandi adalah menawarkan perkhidmatan urutan badan dan aktiviti pelacuran kepada warga asing dan tempatan,” katanya melalui kenyataan media.

Dalam operasi itu pasukan operasi merampas 19 naskhah pasport Vietnam, dua naskhah pasport Bangladesh, empat botol minyak urut dan kondom.

Operasi bermula pada jam 10.20 malam itu melibatkan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak.

Ruslin berkata, perkhidmatan urutan badan dijalankan di tingkat bawah premis manakala aktiviti pelacuran dijalankan di tingkat satu.

Menurutnya,ketika serbuan terdapat wanita warga asing yang berada di premis itu cuba melarikan diri melalui pintu belakang dan bersembunyi namun usaha ini berjaya dipatahkan oleh anggota serbuan.

Katanya, terdapat juga pelanggan yang cuba melakukan provokasi dengan membuat bising dan cuba menghalang anggota melakukan penggeledahan namun tindakan tersebut turut berjaya dipatahkan.

“Kesemua warga asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1966, Akta Pasport 1966 dan ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur,”katanya.

Dalam operasi itu, 5 lelaki warga tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini