comscore
Tumpuan :
Jenayah

PRU-15: 4 individu ditahan, 8 kertas siasatan dibuka

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat individu iaitu seorang di Selangor dan tiga di Sarawak disyaki melakukan pelbagai kesalahan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), semalam.

Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Ghazali yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman berkata PDRM juga telah membuka lapan kertas siasatan berkaitan PRU-15.

Ia melibatkan siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) kerana fitnah, Seksyen 447 KK kerana menceroboh, Seksyen 506 KK melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 147 KK kerana merusuh.

Selain itu adalah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM), Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (PPPA) 2016, Seksyen 24(B)(10) Akta Pilihan Raya 1955 dan Seksyen 24(A)(2) Akta Pilihan Raya 1954.

Hazani berkata antara yang dibuka kertas siasatan itu adalah dua di Selangor mengikut Seksyen 500 KK, Seksyen 447 KK, Seksyen 233 AKMM 1998 dan Seksyen 143(1) PPPA 2016, satu di Pulau Pinang mengikut Seksyen 24(B)(10) Akta Pilihan Raya 1955 dan satu di Pahang di bawah Seksyen 506 KK.

Hazani berkata bagi permit ceramah pula, PDRM telah mengeluarkan sebanyak 289 permit iaitu 52 permit di Perak, Johor (47), Selangor (32), Kedah (29), Sabah (28), Sarawak (22), Pulau Pinang (18), Negeri Sembilan (15), Pahang dan Melaka masing-masing (14), Terengganu (tujuh), Kelantan (enam), Perlis (tiga) dan Kuala Lumpur (dua).

“Sebanyak 19 ceramah tidak berpermit dikesan, dengan di Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 11 kes, Perak (lima), Pahang (satu), dan Terengganu (dua),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai hari pengundian bagi PRU-15 manakala pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

Loading...
Terkini