comscore
Tumpuan :
Jenayah

PRU-15 : Polis kesan tiga kegiatan khianat rosakkan bendera, gegantung

Kejadian khianat merosakkan bendera dan gegantung membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

KUALA LUMPUR : Polis mengesan tiga kejadian khianat merosakkan bendera dan gegantung membabitkan calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian itu disedari seorang anggota rondaan unit kereta peronda polis (MPV) Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) berusia 35 tahun ketika membuat rondaan jam 12.05 tengah hari, semalam.

Katanya, anggota itu mengesan dua gegantung gambar Hannah Yeoh yang dirosakkan dengan kesan koyakan serta dicabut sebelum diselerakkan di tepi jalan.

“Siasatan awal mendapati lokasi kejadian pertama berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Datuk Sulaiman ke Jalan Burhanuddin Helmi.

“Kejadian kedua pula berlaku di Jalan Burhanuddin Helmi menuju ke Bandar Utama, Selangor, manakala kejadian ketiga berlaku di persimpangan Jalan Leong Yew Koh, TTDI,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Amihizam berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Kami mengingatkan kepada orang ramai serta mana-mana pihak yang terbabit dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) supaya tidak membuat sebarang provokasi yangboleh mengganggu proses demokrasi.

“Ahli-ahli parti politik juga diingatkan supaya mengawal penyokong setiap parti supaya tidak melakukan perbuatan yang bercanggah dengan undang-undang.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. yang berdekatan.- HARIAN METRO

Loading...
Terkini