comscore
Tumpuan :
Jenayah

PRU-15: Tiga lelaki ditahan edar risalah politik dalam kawasan TLDM

Foto hiasan

LUMUT: Polis menahan tiga lelaki atas kesalahan mengedar risalah sebuah parti politik di pekarangan Blok A8 RKTLDM Lumut di sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata polis menerima aduan berhubung kejadian itu daripada seorang petugas pasukan rondaan Provos Tentera Laut (PROTELA) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

Katanya, suspek warga tempatan berusia 19 hingga 33 tahun itu ditahan oleh petugas PROTELA kerana mengedar risalah politik dalam pangkalan TLDM yang diwartakan sebagai kawasan larangan.

“Saya ingin menasihatkan semua parti yang bertanding supaya patuhi segala peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasa sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Sila patuhi Akta 298, Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959. Mana-mana individu yang gagal mematuhi perkara ini boleh dikenakan penjara atau denda seperti mana yang dinyatakan di dalam Seksyen 7 akta yang sama

“Kes disiasat mengikut Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959, individu yang disabitkan bersalah boleh dihukum penjara selama tempoh dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini