comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pusat hiburan diserbu, 22 GRO warga asing ditahan 

Foto: NSTP

KLANG: Bilik karaoke dilengkapi pentas bagi pelayan pelanggan (GRO) ‘beraksi’ melayan pelanggan VIP.

Itu modus operandi salah sebuah pusat hiburan yang diserbu di daerah ini, malam tadi.

Sambil menyanyi dan mabuk, pelayan yang datang juga akan disediakan khidmat GRO dan bilik yang ditempah berdasarkan harga mengikut keluasan bilik iaitu antara RM888 hingga RM4,888.

Malah wartawan yang mengikuti operasi terbabit turut mendapati pusat hiburan turut dipasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan pergerakan mencurigakan.

Bagaimanapun kegiatan itu terbongkar susulan Op Khas Aman 1/2024 yang dijalankan ke atas sembilan pusat hiburan dan KTV di sini, bermula 11.30 malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis menyerbu sembilan premis pusat hiburan dan KTV disyaki melakukan kesalahan di Daerah Klang Utara dan Klang Selatan.

Menurutnya, 299 orang diperiksa dengan 43 orang ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Mereka yang ditahan itu terdiri daripada empat pengurus lelaki dan lapan penjaga kaunter membabitkan tujuh lelaki dan seorang wanita serta seorang kapten (lelaki).

“Selain itu, 22 GRO ditahan membabitkan warga tempatan, Vietnam, Indonesia, Thailand, kemboja dan Laos. Lapan pekerja warga asing yang ditahan pula dari Bangladesh, Thailand dan Indonesia,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, wang tunai RM3,625 arak, resit jualan, dan peralatan alat hiburan turut dirampas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1952, Seksyen 55B (1) Akta Imigresen, Seksyen 6 Akta Imigresen, Seksyen 39b Peraturan Imigresen, Seksyen 6(1) EHDTTH 1995 dan Sek 3(1) UUKPPTPP.

Loading...
Terkini