comscore
Tumpuan :
Jenayah

Rakan kepada suspek pencuri lembu ditahan reman tujuh hari

KOTA BHARU: Seorang lelaki berumur 43 tahun yang juga rakan suspek disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri lembu, yang maut ditembak selepas menyerang anggota polis di Kampung Joh, Labok, Machang pada Isnin lepas, ditahan reman selama tujuh hari.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki itu yang juga seorang penjawat awam ditahan pada hari kejadian, direman bermula semalam hingga 2 Oktober ini untuk siasatan lanjut.

“Kedua-dua suspek (termasuk suspek yang mati ditembak) positif dadah jenis methamphetamine … ketika kejadian, kedua-dua suspek didapati berada dalam keadaan khayal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata suspek yang maut mempunyai 11 rekod jenayah dan tiga kes dikehendaki iaitu di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana pecah rumah dan Seksyen 427 KK atas kesalahan khianat, serta Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

“Dalam siasatan tempoh hari, kita merampas sebilah parang dan ubat pelali yang sebahagiannya masih belum digunakan, bermakna banyak tempat yang akan mereka pergi (untuk mencuri lembu).

“Kami juga mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Klang, Selangor berkemungkinan suspek ini turut terlibat dengan kes samun di Klang berdasarkan penemuan kad pengenalan seorang mangsa samun di sana,” katanya.

Pada Isnin lepas, seorang lelaki berumur 33 tahun maut ditembak selepas menyerang anggota polis dengan senjata tajam. Sebelum itu, polis mengejar kenderaan suspek yang didapati mencurigakan sebelum kenderaan itu terbabas lalu suspek keluar menyerang anggota polis.

Siasatan lanjut mendapati sebelum kejadian, suspek disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri lembu di kawasan kampung itu ekoran terdapat seekor lembu yang baru disembelih di lokasi berkenaan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini