SHAH ALAM: Bukan sekadar merampas telefon bimbit pelanggan malah dua penjenayah turut melarikan sebuah mesin juruwang sebuah premis di Jalan Besar Pandamaran, Kawasan 12, Pelabuhan Klang dekat sini, 23 Oktober lalu.
Itu antara situasi yang berlaku dalam kejadian samun bersenjata yang tular di media sosial menerusi dua video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 40 dan 59 saat, kira-kira jam 7.48 malam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong mengesahkan, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada jam 9.01, malam hari sama.
Menurutnya, pengadu atau mangsa adalah seorang warga tempatan berumur 16 tahun yang bekerja sebagai juruwang di sebuah premis yang menjalankan perniagaan menjual aiskrim di lokasi berkenaan.
“Siasatan mendapati, dalam kejadian samun itu, pengadu didatangi oleh dua suspek lelaki yang bersenjatakan parang.
“Suspek pertama bertindak menolak pelanggan yang berada di dalam premis, lalu merampas dua buah telefon bimbit milk pelanggan.
“Pada masa sana, seorang lagi suspek datang membawa sebilah parang dan menetak wayar mesin wang sehingga putus sebelum mengambil mesin wang dan melarikan diri menggunakan kereta jenis Perodua Iriz berwarna biru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hoong Fong berkata, bertindak atas maklumat, polis berjaya menangkap seorang suspek lelaki berusia 46 tahun di sebuah rumah di Jalan Jagung kira-kira jam 12.15 tengah, keesokan harinya.
“Polis turut dirampas pakaian serta parang digunakan semasa kejadian samun itu. Semakan mendapati suspek mempunyai 14 rekod lampau,” katanya.
Beliau berkata, suspek sudah dituduh di Mahkamah Sesyen Klang pada 30 Oktober lalu.
“Suspek sudah dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan dengan hukuman berjalan serentak.
“Polis sedang memburu seorang lagi suspek yang terbabit dalam kejadian samun bersenjata itu,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.