comscore
Tumpuan :
Jenayah

Remaja antara 3 ditahan semasa polis serbu makmal proses dadah

Rampasan dadah jenis heroin 8,461 gram, heroin base 377 gram, bahan kimia dan Pre-Cursor serta perkakasan alat memproses dadah bernilai RM117,000 pada sidang di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang hari ini. – FOTO: NSTP

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menyerbu sebuah rumah teres yang dijadikan makmal pemprosesan dadah membabitkan rampasan heroin bernilai RM117,000 menerusi dua serbuan berasingan di sekitar Seberang Perai Tengah, di sini.

Susulan itu dua lelaki warga tempatan dan seorang warga Nepal berusia antara 17 hingga 46 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pemprosesan dadah berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, serbuan berkenaan dijalankan antara 20 hingga 21 Mei lalu membabitkan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang.

Dalam serbuan itu, polis merampas 19 bungkusan plastik lutsinar dan sebuah besen mengandungi hablur dan ketulan disyaki dadah jenis heroin seberat 8.47 kilogram.

“Turut dirampas ialah balutan plastik berwarna coklat yang mengandungi heroin base seberat 337 gram, kotak mengandungi plastik lutsinar berisi bahan kafein seberat 9.5kg, bahan kimia serta peralatan dan perkakasan pemprosesan dadah.

“Risikan mendapati aktiviti sindiket itu bergiat aktif pada penghujung tahun lalu bagi pasaran tempatan dan ia boleh digunakan seramai 77,000 penagih dadah jika dipasarkan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, ujian saringan air kencing mendapati dua daripada tangkapan positif dadah jenis morfin dan tetrahydrocannabinol (THC) manakala seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau kesalahan dadah.

Remaja berusia 17 tahun itu sudah tidak bersekolah dan hubungan antara semua tangkapan masih dalam siasatan.

Semua tangkapan direman tujuh hari hingga 27 Mei bagi membantu siasatan.

Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang mana masing-masing dua kereta dan motosikal serta barangan kemas disita dengan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai RM223,800.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini