comscore
Tumpuan :
Jenayah

Remaja perempuan 17 tahun leka isi petrol seludup ditahan

Tangki ubah suai yang terdapat dalam kereta Proton Iswara yang membawa sejumlah petrol seludup disita oleh KPDN di Pengkalan Kubor. FOTO: Ihsan KPDN

TUMPAT: Remaja perempuan disyaki penyeludup ditahan ketika leka membuat pengisian petrol di sebuah stesen minyak di Kampung Telaga Bata, Pengkalan Kubor, di sini.

Remaja berusia 17 tahun yang juga sudah tidak bersekolah itu ditahan jam 12.40 tengah hari semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, pihaknya mengesan sebuah kenderaan jenis Perodua Kenari yang dipandu remaja perempuan itu membuat pengisian petrol berulang kali di beberapa stesen minyak sekitar sebelum ditahan.

“Pemeriksaan lanjut yang dibuat menemui 325 liter petrol dalam kenderaan itu yang dipercayai untuk dibawa ke pangkalan haram di sini (Pengkalan Kubor).

“Dari soal siasat yang dibuat, remaja itu memberi alasan berdepan kekangan ekonomi yang menyebabkan terpaksa melakukan aktiviti penyelewengan petrol itu,” katanya dalam kenyataan media.

Dalam Ops Khas Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan di sempadan negara yang dilakukan semalam, Azman berkata, pihaknya mengesan pergerakan banyak kenderaan yang membuat pengisian secara berulangkali di beberapa stesen minyak sekitar Tumpat.

Beliau berkata, hasil risikan yang dibuat, penyeludup membuat pembayaran sekitar RM30 hingga RM50 untuk sekali transaksi sebelum jumlah barangan kawalan yang dikumpul itu mencukupi seterusnya dibawa ke pengkalan haram untuk diselewengkan.

“Dalam operasi semalam, kita turut merampas 250 liter petrol di dua lokasi dan seorang lelaki berusia 33 tahun dipercayai penyeludup ditahan.

“Dua kereta jenis Proton Iswara dan Perodua Kenari yang mempunyai tangki ubah suai turut disita dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini