comscore
Tumpuan :
Jenayah

Remaja Thailand Ditahan Bersama 641 Karton Rokok

KOTA BHARU: Menjadikan premis membaik pulih penapis air sebagai tempat menyimpan pelbagai jenis rokok tidak bercukai, semata-mata bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Namun, taktik itu tetap berjaya dikesan pihak berkuasa yang kemudian melakukan serbuan ke atas premis di Jalan Hospital, di sini serta merampas 128,200 batang rokok putih dan kretek.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, serbuan dilakukan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) menerusi Op Kontraban pada 12.15 tengah malam Sabtu.

Katanya, rokok yang dirampas bernilai RM136,151 dan polis turut menahan remaja lelaki warga Thailand berusia 16 tahun.

“Pasukan PGA7 cawangan risik melakukan pemantauan di tempat kejadian sebelum serbuan ke atas premis dibuat.

“Pemeriksaan dalam rumah itu menjumpai 15 bungkusan plastik hitam dan satu bungkusan guni plastik putih mengandungi kotak coklat, yang mana di dalamnya terdapat 641 karton rokok pelbagai jenama.

“Keseluruhannya terdapat 128,200 batang rokok putih dan kretek, manakala lelaki berkenaan yang berada di dalam premis ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan reman 14 hari hingga 14 Oktober untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini