
KUALA LUMPUR: Wanita yang disyaki memperdaya isteri pelawak, Along Cham membabitkan kerugian hampir RM100,000 disambung reman sehari lagi, bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata perintah itu bermula hari ini sehingga esok.
Menurutnya, hanya isteri masih ditahan reman, manakala suami sudah dibebaskan dengan jaminan pada 1 Februari lalu.
“Siasatan mendapati kesemua wang dimasukkan ke akaun suami isteri terbabit. Jadi setakat ini polis hanya membuat penahanan terhadap dua individu itu.
“Namun, polis sudah merakam keterangan 12 individu bagi membantu siasatan,” katanya
Terdahulu, media melaporkan iaitu isteri Along iaitu Afreena Suhaimi tampil membuat laporan polis terhadap seorang individu dikenali sebagai Ika atas dakwaan menipu wang berjumlah RM95,180.
Afreena dilaporkan berkata, wang itu diserahkan dengan niat untuk membantu membebaskan suaminya daripada tahanan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan kemudian berkata, polis menahan suami isteri berusia lingkungan 20-an di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang, pada 29 Januari.
Hussein dilaporkan berkata, siasatan mendapati wanita yang ditahan itu mempunyai lima rekod lampau berkaitan penipuan di empat negeri termasuk Selangor.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.