comscore
Tumpuan :
Jenayah

RM1.06 juta lenyap kerana cinta maya

 

Foto hiasan

SIBU: Dek kerana memburu cinta, seorang kerani kerugian RM1.06 juta sebelum menyedari dirinya tertipu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata mangsa usia lingkungan 50-an mulanya mengenali suspek melalui Facebook pada pertengahan tahun lepas sebelum meneruskan hubungan melalui Whatsapp pula.

“Suspek mengatakan bekerja sebagai jurutera di London dan meminta bantuan mangsa membuat pembayaran pembelian bahan kimia untuk pekerjaannya.

Mangsa telah melakukan 25 transaksi pemindahan wang berjumlah RM395,000 ke lima akaun bank berlainan pada awal Ogos 2022 sehingga penghujung September 2022,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selepas itu, beliau berkata pada September 2022, suspek berjanji akan datang ke Malaysia dan beberapa hari kemudian mangsa telah dihubungi pihak kastam yang mengatakan suspek telah ditahan di Thailand kerana membawa wang tunai dolar melebihi had ditetapkan dan bayaran denda dikenakan untuk membebaskan suspek.

Mancha berkata mangsa kemudian melakukan tiga transaksi pemindahan wang berjumlah lebih RM255,000 ke tiga akaun bank berlainan pada penghujung September 2022 sehingga awal Oktober 2022.

Selain itu, beliau berkata mangsa turut melakukan 36 transaksi pemindahan wang berjumlah RM414,000 ke 16 akaun bank berlainan pada awal Mei lalu sehingga penghujung Julai lalu bagi tujuan pembelian barang kerja suspek, urusan datang ke Malaysia, urusan kecemasan dan banyak lagi.

Mangsa mula menyedari ditipu setelah suspek masih meminta mangsa membuat pembayaran atas pelbagai alasan tetapi mangsa masih gagal berjumpa dengan suspek.

Berikutan itu, mangsa tampil membuat laporan polis di sini, semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini