comscore
Tumpuan :
Jenayah

RM13 juta kerugian akibat penipuan dalam talian di PJ tahun ini

FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Sebanyak 4,017 laporan berkaitan penipuan dalam talian mengakibatkan kerugian lebih RM111 juta direkodkan Bahagian Siasatan Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, bagi tahun ini pula, sebanyak 1,211 laporan diterima sehingga Mac ini yang membabitkan kerugian lebih RM13 juta.

“Jumlah tangkapan berkaitan kes penipuan dalam talian ini adalah seramai 754 orang termasuk 210 wanita.

“Seramai 406 suspek dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Tambahnya, antara modus operandi penipuan dalam talian ialah pelaburan tidak wujud, tipu belian online, ‘Love Scam’, tipu kerja sambilan dan pinjaman tidak wujud.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa ambil tahu trend modus operandi terkini penipuan dalam talian dan tidak mudah terjerumus menjadi mangsa kepada sindiket penipuan.

“Orang ramai juga dinasihatkan jangan menyerahkan kad pengeluaran tunai kepada pihak lain kerana jika wang hasil penipuan masuk ke dalam akaun, anda akan didakwa di mahkamah.

“Sentiasa merujuk kepada bank atau balai polis berdekatan untuk kepastian dan jangan mudah percaya dengan tawaran keuntungan luar biasa ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini