comscore
Tumpuan :
Jenayah

RM400 lulus ujian memandu

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Seorang tenaga pengajar sebuah institut memandu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM400 daripada seorang pelajarnya sebagai dorongan untuk membantu meluluskan ujian memandu yang diambil, tahun lalu.

Tertuduh, Abu Zaharin Osman, 53, yang didakwa bagi dua pertuduhan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Bagi pertuduhan utama, lelaki itu didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya wang tunai RM400 daripada seorang pelajar berusia 29 tahun sebagai dorongan bagi membantu meluluskan ujian memandu wanita itu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa diberikan wang suapan RM400 daripada pelajar itu bagi tujuan sama yang mana tertuduh gagal melaporkan pemberian penyogokan itu kepada SPRM.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (2) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000, atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah restoran makanan segera di Jalan Hanis Najihah, Taman Perling di sini, jam 1 petang, 23 Februari 2021.

Pegawai Pendakwa dari SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin memberitahu mahkamah bahawa perbuatan dilakukan tertuduh di bawah kesalahan yang tidak boleh dijamin, namun mencadangkan jumlah RM10,000 sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan jaminan itu.

Peguam K Bharathi yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan dengan mengambil kira anak guamnya yang merupakan penanggung tunggal keluarga.

“Tertuduh mempunyai seorang isteri serta dua anak yang masih kecil dan hanya tertuduh yang bekerja menanggung keluarga dengan pendapatan RM1,500 sebulan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah, jika ada, sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 Disember ini. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini