comscore
Tumpuan :
Jenayah

RM520,000 lesap, isteri ahli perniagaan ditahan

FOTO: Ihsan PDRM

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wang tunai milik ahli perniagaan yang juga suaminya sebanyak RM520,000 di Taman Permatang Pasir Perdana, Alai, di sini awal bulan ini.

Kehilangan wang tunai berkenaan disedari ahli perniagaan terbabit, Harvinder Singh, 35, selepas memeriksa peti besi berisi wang tunai dan barang kemas milik ibunya pada 4 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebelum kejadian, ahli perniagaan terbabit baharu pulang atas urusan perniagaan di Kuala Lumpur.

FOTO: Ihsan PDRM

“Ahli perniagaan itu balik ke rumah dan membuat pemeriksaan di dua peti besi di tingkat dua dan tiga sebelum memdapati wang tunai perniagaannya telah tiada.

“Wang tunai dalam peti besi adalah lebih kurang RM520,000 di mana dalam peti-peti tersebut juga terdapat barang kemas milik ibunya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Christopher, ekoran kejadian itu, lelaki terbabit mengesyaki isterinya yang berusia 36 tahun, mencuri wang tunai dan barang kemas tersebut.

Bagaimanapun, ujarnya, kesemua peti besi terbabit tidak mengalami sebarang kerosakan.

Ekoran kejadian itu, katanya, ahli perniagaan terbabit telah membuat laporan polis sebelum isterinya ditahan di sebuah rumah di Taman Merdeka, Batu Berendam, di sini.

FOTO: Ihsan PDRM

“Polis turut merampas seunit telefon bimbit milik isteri ahli perniagaan berkenaan,” ujarnya.

Wanita terbabit tambahnya, ditahan reman untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Loading...
Terkini