comscore
Tumpuan :
Jenayah

RM852,000 lesap, ditipu ‘phone scam’

Foto hiasan

KOTA BHARU: Seorang kakitangan kerajaan kerugian RM852,000 selepas menjadi mangsa ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai insurans, pegawai polis dan mahkamah.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, berdasarkan laporan yang dibuat lelaki berusia 50-an, dia menerima panggilan daripada seorang wanita yang menyamar sebagai pegawai insurans dari Ibu Pejabat di Ampang, Selangor pada Januari lalu ketika mangsa berada di rumahnya di Kota Bharu.

Katanya, wanita itu mendakwa mangsa membuat tuntutan kos pembedahan sebanyak tiga kali dalam tempoh yang singkat.

“Pada awal Februari, mangsa sekali lagi menerima panggilan daripada syarikat insurans yang sama memaklumkan bahawa mangsa terbabit dengan kes penggubahan wang haram.

“Waran tangkap dan waran pembekuan akaun ke atas mangsa dikeluarkan sebelum panggilan disambungkan kepada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

“Mangsa diarahkan membuka akaun bank dan mendaftarkan nombor telefon yang diberikan suspek.

Suspek meminta mangsa memindahkan wang dari akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) ke dalam akaun yang baru,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, suspek mengarahkan mangsa membuat pinjaman peribadi dengan sebuah bank sebanyak RM350,000 dan permohonan lulus sebanyak RM327,000.

Mangsa memindahkan wang itu ke dalam akaun baru seperti yang diarahkan oleh suspek.

Beliau berkata, suspek memberitahu mangsa bahawa pihak mahkamah memerlukan masa selama tiga bulan untuk memberikan keputusan rasmi kepadanya.

“Pada awal April lalu, mangsa cuba untuk mendaftar perbankan dalam talian untuk akaun barunya tetapi gagal kerana ada pihak mendaftar menggunakan nombor akaun mangsa.

“Mangsa membuat semakan di bank berhampiran dan mendapati baki dalam akaun hanya RM48.

Menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis semalam dan anggaran kerugian lebih kurang RM852,000,” katanya.

Beliau berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini