comscore
Tumpuan :
Jenayah

Rogol anak saudara 13 tahun, peniaga Kemboja dicekup polis

Suspek peniaga Kemboja disyaki rogol anak saudara direman tujuh hari bantu siasatan.

JASIN: Seorang kanak-kanak perempuan berdepan detik hitam apabila diperkosa oleh bapa saudaranya sendiri di sebuah kedai pakaian milik keluarga mereka di Merlimau, di sini petang, semalam.

Suspek peniaga warga Kemboja berusia 27 tahun itu bagaimanapun diberkas polis susulan siasatan hasil laporan dibuat mangsa berusia 13 tahun dua bulan yang juga pelajar sekolah.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, suspek dicekup oleh pasukan Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) dan dibantu anggota Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di rumahnya di Bukit Katil, kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 3.30 petang apabila suspek yang sudah berkahwin dikatakan memanggil mangsa untuk ke bahagian belakang kedai.

Menurutnya, sewaktu kejadian hanya suspek dan mangsa yang juga anak kedua daripada empat beradik berada di dalam kedai berkenaan, manakala isteri serta ibunya keluar menghantar pakaian kepada peniaga pasar malam di kawasan berhampiran.

“Suspek kemudian dikatakan meraba mangsa dan menyuruhnya diam sebelum merogolnya dan memberi amaran supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa.

“Mangsa yang tidak tahu untuk berbuat apa menangis dan menghubungi ibu saudaranya yang lain bagi menceritakan perbuatan suspek,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ahmad Jamil berkata, mangsa tinggal bersama keluarganya di Paya Dalam, namun kerap ke premis itu untuk berehat selepas pulang dari sekolah.

Katanya, siasatan di premis berkenaan mendapati kejadian berlaku di bilik belakang kedai dan lokasi itu tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 7 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini