comscore
Tumpuan :
Jenayah

Rogol dan samun pelajar, dua anggota polis direman tujuh hari

Foto hiasan

Oleh: Hilmi Abdul Malik 

PETALING JAYA: Dua anggota polis direman selama tujuh hari selepas dipercayai terlibat dengan kes samun seorang pelajar warga tempatan serta merogol seorang pelajar perempuan warga asing.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian berlaku pada Selasa lalu sekitar jam 10.09 malam di Bukit Ampang View.

“Ketika kejadian, pengadu dan rakan lelakinya berada di Bukit Ampang View, telah ditahan oleh dua suspek lelaki yang lengkap beruniform.

“Kedua-dua suspek bertindak membawa pengadu dan rakannya ke tempat berasingan.

“Dalam kejadian tersebut, salah seorang suspek telah bertindak merogol pengadu perempuan manakala pengadu lelaki pula dibawa ke bank kerana perlu menjelaskan bayaran yang diminta kedua-dua suspek atas kesalahan lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ekoran daripada laporan berkenaan, tangkapan terhadap kedua-dua suspek telah dibuat semalam oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang.

Mengulas lanjut, polis telah membuka dua kertas siasatan masing-masing merupakan Seksyen 376 Kanun Keseksaan serta Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun serta sebatan.

Manakala bagi kesalahan mengikut peruntukan seterusnya pula boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda, serta sebatan.

Tegas Hussein, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dalam mana-mana kes jenayah dan salah laku selain jaminan kepada siasatan yang telus.

Beliau dalam masa sama menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Loading...
Terkini