IPOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya merampas minuman keras serta rokok seludup pelbagai jenama membabitkan nilai RM410,000 sepanjang Ogos hingga September ini.
Pengarah Kastam negeri, Datuk Abdul Ghafar Mohamad, berkata rampasan dua bahan itu menerusi operasi yang dijalankan sepanjang dua bulan, turut membabitkan tangkapan seramai 14 individu termasuk seorang wanita.
Menurutnya, sitaan dibuat membabitkan 387,788 batang rokok dan 2,273.53 liter minuman keras atau arak dengan anggaran nilai dan duti cukai berjumlah RM410,008.28
“Nilai dagangan adalah dianggarkan 387,788 batang pelbagai jenama rokok membabitkan duti dan cukai RM 318,406.33, serta 2,273.53 liter pelbagai jenama minuman keras berduti atau cukai sebanyak RM91,601.95.
“Pemilikan dan penjualan rokok dan minuman keras itu didapati tidak mempunyai stamp cukai di premis perniagaan. Hasil rampasan dan tangkapan ini adalah melalui operasi yang diadakan sepanjang bulan Ogos dan September 2024 di sekitar negeri Perak.
“Rokok dan minuman keras adalah barang larangan di mana pengimportannya dibenarkan dengan syarat sepertimana yang ditetapkan di bawah Butiran 1 dan Butiran 3, Bahagian 2,Jadual Ketiga, Perintah Kastam (larangan Mengenai Import) 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan kes masih berjalan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Dalam perkembangan lain, Abdul Ghafar turut berkongsi kejayaan JKDM Perak dalam mengendalikan dua lagi kes penyeludupan iaitu masing-masing membabitkan bahan dadah serta minyak petrol bersubsidi juga sepanjang Ogos dan September ini.
Bagi kes dadah, katanya sitaan membabitkan dadah seberat 3.3 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM13,331.40 menerusi rampasan beberapa bungkusan parcel mengandungi dadah pelbagai jenis di dua pejabat pos di bandaraya Ipoh yang disyaki untuk diedarkan kepada pelanggan.
Bagi kes penyeludupan bahan baka bersubsidi pula, Abdul Ghafar berkata sitaan membabitkan penyeludupan minyak petrol bersubsidi bernilai RM210 yang cuba diseludup keluar oleh seorang wanita ke negara jiran dengan cara mengubahsuai tangki minyak kenderaan.
Menurutnya, kesalahan itu dikesan di Kompleks Imigresen, Kastamdan Kuarantin (ICQ) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, dengan subjek sudah ditahan untuk siasatan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa