comscore
Tumpuan :
Jenayah

Samseng jalan raya diburu

Video tular memaparkan tindakan seorang pemandu meludah dan menumbuk cermin tingkap kereta. Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang pemandu kereta yang menumbuk dan meludah kereta seorang lagi pemandu lain dalam perselisihan faham ketika menukar lorong dalam kejadian di Jalan Teknologi, Seksyen 6 Kota Damansara, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian itu yang dibuat seorang pelajar berusia 22 tahun di Balai Polis Kota Damansara, pada jam 4.45 petang semalam.

“Hari ini tular di media sosial rakaman video menunjukkan seorang lelaki bertindak meludah dan menumbuk kereta perakam (mangsa).

“Ketika mangsa memandu di Jalan Teknologi, Seksyen 6 Kota Damansara, dikatakan berlaku perselisihan faham ketika menukar lorong menyebabkan pengadu membunyikan hon beberapa kali.

“Polis masih dalam usaha mengesan dan menangkap suspek. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, kerana melakukan khianat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 55 saat yang memaparkan suspek yang berada dalam sebuah kenderaan lain menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa.

Suspek kemudian bertindak memintas kereta mangsa dan memberhentikan kereta sebelum turun daripada keretanya dan terus menuju ke kereta mangsa.

Lelaki itu kemudian menumbuk cermin tingkap kereta mangsa beberapa kali selain cuba membuka pintu kereta mangsa dan turut mengarahkan mangsa untuk keluar.

Mangsa tidak memperdulikan suspek dan terus merakam menyebabkan lelaki itu semakin berang sebelum meludah cermin tingkap kereta mangsa dan menumbuk cermin sisi kenderaan itu sebelum beredar.

Loading...
Terkini