comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sanggup Tinggal Kereta Sarat Minyak Masak Subsidi Elak Ditahan

TUMPAT: Dua lelaki dipercayai penyeludup lari meninggalkan kereta dinaiki yang sarat dengan muatan minyak masak paket bersubsidi yang dipercayai cuba diseleweng mereka di sini, pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.40 pagi ketika kereta jenis Proton Wira itu dikejar sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dari arah Kota Bahru menghala Pasir Pekan, di sini.

Pengarah KPDNHEP negeri, Azman Ismail, berkata terdahulu pihaknya mengekori kenderaan terbabit yang dikesan mencurigakan, sebelum pemandunya tiba-tiba memecut untuk melarikan diri menuju Taman SBJ di Pasir Pekan.

“Sebaik tiba di belakang sebuah klinik, kereta terbabit berhenti di bahu jalan sebelum pemandunya dilihat melarikan diri bersama seorang lelaki ke arah semak berhampiran.

“Hasil pemeriksaan kemudian menemukan 1,041 kilogram (kg) minyak masak paket sekilogram bersubsidi yang dimuatkan dalam kotak dianggarkan bernilai RM2,602.50.

“Dua lelaki terbabit yang disyaki penyeludup bagaimanapun gagal dikesan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azman berkata, berdasarkan alamat tercatat pada kotak, pihaknya percaya stok minyak masak itu diperoleh dari Negeri Sembilan dan disyaki untuk diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram di sekitar Pengkalan Kubor, di sini.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti pemilik asal kenderaan termasuk punca barang kawalan itu diperoleh.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau peniaga yang melanggar undang-undang dan kerjasama bersepadu bersama agensi penguatkuasaan sempadan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya.- Berita Harian

Loading...
Terkini