comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sanggup tinggalkan kereta elak dicekup polis

Kereta milik tiga lelaki yang ditahan kerana disyaki terbabit berlumba dalam ops Samseng Jalanan di persimpangan lampu isyarat Kedundung Pokok Sena. – FOTO: PDRM

ALOR SETAR: Seorang lelaki sanggup meninggalkan kereta dipandunya di persimpangan lampu isyarat Kedundung, Pokok Sena selepas dikepung polis dalam Op Samseng Jalanan, awal pagi tadi.

Dalam operasi jam 1.30 pagi itu, tiga lagi lelaki yang berusia 22 hingga 33 tahun berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek ditahan selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti lumba haram membabitkan beberapa kereta dan mengundang bahaya di jalan raya.

“Operasi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar itu berjaya mengepung dan menahan mereka.

“Mereka ditahan tidak jauh dari lokasi berkenaan dan persimpangan lampu isyarat itu dipercayai menjadi tempat permulaan perlumbaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Shukri berkata, kesemua kenderaan dirampas dan tiga pemandu itu ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Selain itu, beberapa pemilik kenderaan lain yang turut menyaksikan aktiviti lumba haram itu turut diperiksa selain saman dikeluarkan atas beberapa kesalahan trafik.

“Antara kesalahan yang dikesan adalah mengubah suai kenderaan,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini