comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sangka boleh lolos guna lori ais, sindiket gagal seludup rokok RM1 juta

Syed Nor Adli Syed Ab Rahman (kanan) menunjukkan sebahagian rokok seludup cuba diseludup menggunakan lori ais.

PASIR PUTEH: Cubaan sekumpulan individu dipercayai anggota sindiket menyeludup satu juta batang rokok putih dianggarkan bernilai lebih RM1 juta menggunakan lori ais gagal apabila taktik itu dapat dikesan pihak berkuasa.

Ia selepas agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan dua lori ais berkenaan, Selasa lalu.

Lori ais bersama rokok cuba diseludup yang dirampas Maritim Malaysia Kelantan. – Foto NSTP

Ketua Maritim Malaysia Kelantan, Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman, berkata rokok putih dirampas dianggarkan bernilai RM1.045 juta, termasuk cukai, manakala nilai dua lori pula RM55,000 dengan nilai keseluruhan rampasan RM1.1 juta.

Katanya, pasukan Maritim Malaysia sebelum itu mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan pada jam 3.30 pagi menuju ke perairan muara Tumpat.

“Bot pancung dipercayai dinaiki dua individu memasuki salah satu cabang di perairan alur Sungai Padang Tambun, Tumpat.

Keadaan sungai cetek menyebabkan bot maritim terpaksa bergerak perlahan dan meminta bantuan pasukan darat untuk membuat pencarian di kawasan sekitar.

“Pada jam 6.10 pagi, pasukan darat menjumpai dua lori di tebing Sungai Tambun, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kita kehilangan jejak bot pancung,” katanya pada sidang media di Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, di sini hari ini.

Syed Nor Adli berkata, bot pancung yang diburu disyaki memindahkan barangan seludup ke dalam dua lori air ais itu dengan pemeriksaan mendapati lori pertama mengandungi 70 bungkusan plastik hitam, manakala lori kedua mengandungi 30 bungkusan hitam.

“Kesemua bungkusan mengandungi satu juta batang rokok putih dipercayai dari Hong Kong dan diseludup masuk untuk pasaran Selangor dan beberapa negeri lain.

Kedua-dua lori itu ditinggalkan dipercayai selepas penyeludup mengesyaki kegiatan mereka dikesan Maritim Malaysia.

“Kita syak mereka adalah sindiket melihat kepada kuantiti barang seludup yang banyak dan aktiviti yang dilaksanakan dengan terancang. Mereka juga cekap melalui lorong laluan laut.

“Modus operandi dilaksanakan pula pada tengah malam dan awal pagi iaitu daripada jam 12 tengah malam hingga 6 pagi ketika keadaan sunyi dan tiada orang,” katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Loading...
Terkini