comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sasar rumah teres ada kereta mewah

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A.A Anbalagan (kiri) menunjukkan tiga kereta mewah yang dicuri suspek. Foto: NSTP

SERDANG: Sasar rumah teres mempunyai kenderaan mewah dan tiada pengawal keselamatan sebelum melakukan kegiatan pecah rumah serta larikan kenderaan terbabit.

Itu taktik dua penggangur yang aktif melakukan kegiatan ini sejak November tahun lalu.

Tempohnya tidak lama.

Kedua-duanya ditangkap kelmarin susulan terlibat kes pecah rumah dan melarikan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard di Taman Muhibah, Seri Kembangan di sini, pada 18 November lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata pihaknya menahan dua lelaki berusia 44 dan 55 tahun itu di Bandar Damai Perdana, Balakong.

Menurutnya, suspek pertama memiliki 13 rekod berkaitan kes pecah rumah, lapan rekod berkaitan kes dadah dan dipercayai berperanan sebagai perancang utama.

Manakala rakannya memiliki 11 rekod berkaitan kes dadah dan bertindak sebagai ‘transporter’.

Anbalagan berkata suspek turut menukar nombor pendaftaran kenderaan yang dicuri mereka untuk mengaburi pihak berkuasa.

Tambahnya, polis juga berjaya menemui semula Toyota Alphad yang dilaporkan hilang susulan tertangkapnya dua suspek itu.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu, kita menjumpai dua buah beg yang mengandungi pelbagai alatan pecah rumah yang diubah suai,” katanya.

Turut ditemui sebilah parang, dua bilah pisau dan sebuah objek yang menyerupai sepucuk pistol yang diletakkan di dalam kenderaan itu.

Hasil soal siasat, pihaknya juga berjaya mendapatkan semula dua buah kereta jenis Honda HR-V dan Honda CRV yang dicuri suspek.

Kedua-dua mereka direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 / 379A Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini