
ALOR SETAR: Polis mengesan satu taktik ‘scammer’ yang dipercayai menggunakan ‘notis kehadiran suspek adalah wajib’ sebagai helah untuk memperdaya mangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Loi Yew Lik berkata, notis itu dikesan dihantar kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram.
Beliau berkata, surat notis itu kononnya dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Polis Kedah dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah supaya mangsa mempercayainya.
“Isi kandungan ‘notis kehadiran suspek adalah wajib’ itu dikeluarkan dengan memaklumkan mangsa terbabit dengan satu kes penyeludupan dadah dan penggelapan wang.
“Satu arahan tindakan akan dilakukan sekiranya mangsa tidak memberi kerjasama dalam tempoh dua jam dan pihak polis akan mengeluarkan waran tangkap serta tahanan reman selama 45 hari.
“Akaun bank yang didaftarkan atas nama mangsa juga akan dibekukan sita malah mangsa juga tidak dibenarkan menceritakan kes itu kepada sesiapa kerana ia membabitkan Akta Rahsia Rasmi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yew Lik berkata, pihaknya menafikan kewujudan notis berkenaan dikeluarkan oleh IPK Kedah dan ianya sama sekali tidak benar.
Beliau berkata, untuk makluman semua, ‘notis kehadiran suspek adalah wajib’ itu adalah palsu dan ini adalah salah satu modus operandi penipuan ‘scam’.
“Sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada dan tidak mudah percaya kepada penerimaan sebarang dokumen yang tidak dipastikan kesahihannya.
“Orang ramai perlu membuat semakan dengan agensi yang berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan dan laporkan segera kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.