
TAWAU: Seorang lelaki yang menjadi buruan polis selama lebih setahun kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan pelaburan membabitkan kerugian mencecah RM407,500 di Serdang, Selangor, akhirnya berjaya ditahan di sini, semalam.
Suspek berumur 46 tahun itu, ditahan sepasukan polis dari Strike Team, Balai Polis Tawau diketuai Inspektor Hamka Ab Rashid menerusi operasi khas yang dijalankan di kawasan taman perumahan di Batu 3, Jalan Apas, kira-kira jam 11.10 malam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat susulan hasil maklumat dan risikan yang mengesahkan suspek telah dikesan berada di daerah ini sebelum serbuan dijalankan.
“Tangkapan ke atas lelaki terbabit kerana disyaki terlibat dengan kes yang sedang disiasat bersabit laporan dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, pada 1 Disember 2023.
“Kesalahan berkaitan penipuan pelaburan membabitkan kerugian mencecah RM407,500 yang disiasat Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jasmin berkata, polis tidak menolak kemungkinan suspek terlibat dalam kes-kes penipuan lain dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian kegiatan jenayah yang didalangi individu terbabit.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada selain tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran termasuk skim pelaburan atau urusan yang mencurigakan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini atau jenayah lain boleh menyalurkan maklumat kepada IPD Tawau di talian 089-772121 atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP),” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.