comscore
Tumpuan :
Jenayah

Seleweng 8,000 liter diesel, Warga Myanmar ditahan

Dua tangki dipercayai menyimpan 8,000 liter diesel yang ditemui dalam serbuan di sebuah kawasan di Kampung Bukit Lada, Pokok Sena. – FOTO: Ihsan KPDN

ALOR SETAR: Dua warga Myanmar ditahan dalam serbuan di Kampung Bukit Lada, Pokok Sena selepas disyaki terbabit menyeleweng 8,000 liter diesel bernilai RM124,200.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, operasi dilakukan Unit Risikan/Operasi Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman sebelum diserahkan kepada pihaknya jam 11 malam kelmarin.

Beliau berkata, turut dirampas dua tangki dan beberapa peralatan pemindahan diesel yang disyaki digunakan untuk kegiatan itu.

Antara peralatan ditemui yang dipercayai digunakan bagi kegiatan menyeludup diesel. – FOTO: Ihsan KPDN

“Kedua-dua individu berusia 30-an dan 40-an itu ditahan untuk tindakan lanjut.

“Soal siasat terhadap mereka mendapati, premis itu tidak mempunyai kebenaran daripada pengawal bekalan untuk berurusan dengan barang kawalan berkenaan.

“Perintah reman diperoleh dari Mahkamah Alor Setar dan kedua-dua suspek direman empat hari bermula semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Affendi berkata, rampasan dianggar bernilai RM124,200 manakala siasatan dilakukan mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Bagi pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kedua didenda tidak melebihi RM5 juta. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini