comscore
Tumpuan :
Jenayah

Seludup arak guna MPV – JKDM

JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri Johor, menggagalkan cubaan tiga lelaki membawa keluar minuman keras tidak bercukai keluar dari Forest City, Gelang Patah di sini.

Dalam serbuan pada jam 10 malam Isnin lalu, JKDM mengejar tiga kenderaan jenis Toyota Estima yang membawa penuh muatan arak.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamed berkata, ketiga-tiga kenderaan itu ditahan di sekitar Lebuhraya Iskandar Puteri dan Jalan Utama Kampung Baru Senai di sini.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua kenderaan tersebut membawa muatan minuman keras yang ditutup menggunakan kain hitam.

“Dua pemandu kenderaan iaitu lelaki tempatan berusia 20 dan 30-an berjaya ditahan, namun seorang lagi pemandu berjaya melarikan diri.

“Anggaran 14,400 tin minuman keras yang disita sebanyak RM38,410 dan anggaran cukai terlibat berjumlah RM104,915.

Turut disita ketiga-tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan anggaran nilai RM150,000,” katanya pada sidang media di Menara Kastam di sini, hari ini.

Menurut Sazali, kesemua kenderaan juga menggunakan nombor pendaftaran palsu.Katanya hasil siasatan mendapati sindiket ini juga menggunakan kenderaan persendirian dan aktiviti dilakukan pada waktu malam.

“Dua lelaki yang ditahan telah dilepaskan di bawah Seksyen 116 (5) Akta Kastam 1967 dengan wang jaminan berjumlah RM10,000 setiap individu.

“Usaha mengesan pemilik kenderaan turut giat dilakukan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam kes berlainan  Sazali berkata pihaknya juga berjaya menumpaskan sindiket pembuatan arak haram yang menjadikan rumah teres di Skudai sebagai lokasi pemprosesan.

Katanya sewaktu serbuan dilakukan pada 2 April lalu, lebih kurang jam 1 petang, premis terbabit berkunci dan tidak berpenghuni.

“Hasil pemeriksaan rapi oleh pasukan telah mendapati terdapat sejumlah arak pelbagai jenama yang dipercayai tidak berkastam dan melanggar peruntukan Akta Kastam 1967.

“Hasil pemeriksaan turut menjumpai sejumlah tong drum berisi cecair disyaki alkohol, botol kosong, penutup botol, kotak kosong, label jenama minuman, setem Kastam palsu dan alatan memproses dan membotol arak yang dipercayai melanggar Akta Eksais 1976.

“Anggaran nilai arak yang disita adalah sebanyak RM 41,391 dan anggaran duti yang terlibat adalah berjumlah RM 111,720.

Anggaran nilai dan duti terlibat dalam sitaan berjumlah RM 153,111.

“Peralatan pembuatan arak haram dianggarkan bernilai RM 5,000. Kesemua aram tidak berkastam dan peralatan tersebut telah dirampas dan disita untuk tindakan lanjut. Usaha mengesan pemilik premis sedang giat dilakukan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini