comscore
Tumpuan :
Jenayah

Seludup burung RM1 juta dalam kotak

Antara spesis burung yang cuba diseludup dan berjaya dirampas pihak PERHILITAN.

PUTRAJAYA: Sumbat 18 burung spesis cenderawasih bernilai hampir RM1 juta di dalam kotak sebelum cuba diseludup dan dijual di pasaran gelap Hong Kong.

Itu antara taktik digunakan sindiket pemerdagangan hidupan liar antarabangsa yang masih menjadikan negara ini sebagai transit penghantaran spesies haiwan dilindungi.

Hasil tindakan pantas petugas dan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya menyelamatkam ke semua haiwan itu daripada diseludup ke negara berkenaan.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, rampasan haiwan liar dilakukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perhilitan melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK).

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan di bahagian pos kargo KLIA selepas pihak pejabat Perhilitan KLIA menerima maklumat berhubung bungkusan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan terhadap beberapa bungkusan besar tanpa dokumen eksport itu mendapati ia berisi sangkar dan burung liar dilindungi.

“Pemeriksaan lanjut menemui 15 burung dara mahkota victoria (goura victoria), 18 burung cenderawasih (paradisaea minor) dua punai daun (treron olax) dan seekor gagak putih (corvus corax),” katanya kepada Harian Metro.

Kadir berkata, berdasarkan siasatan dilakukan, burung dirampas berasal daripada Indonesia dan mahu diseludup ke Hong Kong.

“Burung bernilai tinggi itu berjaya dikesan selepas pegawai KLIA melakukan imbasan sinar-X pada kotak kargo berkenaan.

“Difahamkan burung cenderawasih yang berasal dari Papua New Guinea ditangkap pemburu haram yang bekerjasama dengan sindiket penyeludupan antarabangsa.

“Semua hidupan liar dianggarkan bernilai hampir RM700,000 dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Perhilitan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, laporan polis dilakukan di Balai Polis KLIA dan kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Sebelum ini pihak Perhilitan menyelamatkan lapan burung enggang yang cuba diseludup melalui KLIA.

Perhilitan juga sebelum ini merampas gading gajah dan produk gading gajah bernilai RM10.9 juta cuba dibawa masuk melalui KLIA.

Turut dirampas pada 15 September tahun lalu adalah 50 sumbu badak bernilai RM30 juta susulan penahanan dua lelaki di Masjid KLIA.

Loading...
Terkini