comscore
Tumpuan :
Jenayah

Seludup dadah dalam bungkusan mi segera

Antara dadah yang dirampas polis dalam bungkusan mi segera. – Foto: NSTP

Subang Jaya: Tiru cara pembungkusan mi segera di pasaran sebelum memasukkan dadah ketamin di dalamnya untuk diseludup ke luar negara melalui syarikat penghantar barang.

Itu taktik sindiket dadah yang dikesan polis selepas memeriksa sebuah syarikat penghantaran barangan di Sime UEP Industrial Park Subang Jaya, di sini, kelmarin dan merampas 286 bungkusan mi segera mengandungi dadah ketamin bernilai RM392,370.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya melakukan pemeriksaan di sebuah premis terbabit pada 3 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan polis menjumpai enam kotak berwarna putih yang berada di atas lantai di bahagian belakang premis berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kesemua kotak mendapati terdapat 286 bungkus plastik mi segera di mana setiap bungkusan mengandungi satu peket plastik warna kelabu berisi dadah disyaki ketamin.

“Anggaran berat keseluruhan 286 peket plastik yang berisi dadah disyaki ketamin adalah 7,134 gram dan nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM392,370,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket ini adalah dengan meniru cara pembungkusan mi segera yang berada di pasaran dan menyorokkan dadah jenis ketamin di dalam bungkusan itu sebelum dihantar ke luar negara melalui syarikat penghantar barang.

“Hasil maklumat risikan dapati sindiket ini baru sahaja bergiat aktif dalamaktiviti pengedaran dadah jenis ketamin sejak awal Oktober lalu.

“Setakat ini masih belum ada tangkapan dilakukan kerana sindiket ini menggunakan maklumat palsu untuk berurusan dengan syarikat penghantar barang supaya ia sukar dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Wan Azlan berkata, polis sedang giat mengenal pasti ahli sindiket yang dipercayai masih berada di dalam negara. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini