comscore
Tumpuan :
Jenayah

Serbuan arak tidak bercukai, lelaki ditahan cuba rasuah polis RM18,000 

Mohd Sohaimi (tengah) melihat rampasan arak tidak bercukai bernilai RM67,791 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Air Biru, Pasir Gudang, semalam. -Foto NSTP

PASIR GUDANG: Cubaan seorang majikan memberi rasuah sebanyak RM18,000 kepada polis, dalam serbuan minuman keras tidak bercukai di sebuah rumah di Kawasan Taman Air Biru di sini, semalam, gagal.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, wang tunai itu cuba diberikan beberapa kali oleh lelaki berusia 51 tahun, bagi melepaskan pekerjanya, warganegara Nepal berusia 48 tahun yang ditahan dalam serbuan terbabit.

Katanya, polis menahan majikan yang juga warga tempatan itu kerana menawarkan wang tunai kepada polis.

“Polis memberikan beberapa kali memberi amaran agar tidak berbuat demikian tetapi majikan itu tetap berkeras menghulur RM18,000 kepada pihak berkuasa.

“Tangkapan (majikan) kita serahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut. Kes disiasat dibawah seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah Seri Alam di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Sohaimi memberitahu dalam serbuan lebih kurang jam 2 petang itu, sepasukan polis dari Pasukan Polis Marin Wilayah Dua membuat serbuan di lokasi yang dijadikan tempat penyimpanan minuman keras yang dipercayai tidak bercukai.

“Dalam serbuan itu, sebanyak 60 kotak pelbagai minuman keras dirampas dengan nilai rampasan RM67,791 termasuk cukai. Kes disiasat dibawah seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

“Pekerja terbabit adalah penjaga stor. Dalam rampasan terbabit turut ditemui pembungkusan baru arak dengan paket seperti air minuman kanak-kanak.

“Rumah yang menjadi lokasi penyimpanan adalah milik keluarga majikan terbabit, bukan rumah sewa.

“Pekerja terbabit ditahan reman dibawah Seksyen 116 C Akta Kastam 1967 selama lima hari, bermula hari ini hingga 24 Jun depan,”katanya.

Beliau berkata, pekerja terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala majikan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes memiliki arak tidak bercukai pada tahun 2022.

“Hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah,”katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini