comscore
Tumpuan :
Jenayah

“Siasatan Awal Mossad Tak Terlibat Culik Warga Palestin”

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur sedang berusaha mengenal pasti kemungkinan wujud pembabitan agensi perisikan luar dalam kes penculikan warga Palestin di ibu negara pada 28 September lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata berdasarkan siasatan awal, pihaknya setakat ini tidak mempunyai maklumat mengenai wujudnya pembabitan Mossad dalam kes berkenaan.

“Kita tidak dapat mengesahkan lagi adanya pembabitan agensi perisikan luar terbabit dalam kes penculikan ini.

“Jadi apabila timbul spekulasi berhubung agensi yang dinyatakan (Mossad), ia mengganggu siasatan kami dan saya tidak tahu mana mereka dapat maklumat berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Rapid KL Safety Point di Stesen MRT Kampung Batu, di sini, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, kelmarin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti dakwaan ada ejen perisikan dari Israel masuk ke Malaysia dan menculik warga Palestin yang berada di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, pula meminta orang ramai tidak mengeluarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat sehingga boleh mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Laporan NST mendakwa ejen Mossad memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik rakyat Palestin yang mereka percaya sebagai aset Briged Hamas al-Qassam.

Memetik laporan itu, Mossad dipercayai merekrut aset tempatan untuk membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia, termasuk dalam kes penculikan dua lelaki Palestin dipercayai aset Briged Hamas al-Qassam di ibu negara, baru-baru ini.

Dalam operasi di tengah-tengah Kuala Lumpur, akhbar itu mendakwa, pasukan perisik memintas dua warga Palestin sejurus selepas jam 10 malam pada 28 September, apabila kedua-duanya mahu memasuki kenderaan diletakkan berhampiran Jalan Yap Kwan Seng, di sini.

Sebelum ini, seramai 18 individu lelaki dan wanita warga tempatan serta warga Indonesia diberkas antara 29 September sehingga 4 Oktober lalu dalam beberapa siri serbuan di Lembah Klang dan Melaka selepas terbabit dalam kes culik seorang lelaki warga Palestin di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, pada 28 September lalu.

Mangsa yang dipercayai ahli perniagaan itu bagaimanapun berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Pada 14 Oktober lalu, 11 individu termasuk seorang wanita kemudian didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, selepas dipercayai terbabit dalam kes penculikan berkenaan.

Motif penculikan terbabit dipercayai untuk mendapatkan maklumat berkaitan perisian menggodam telefon bimbit yang dimiliki warga Palestin berkenaan.

Azmi berkata, pada masa ini pihaknya masih belum dapat mengesahkan kebenaran laporan akhbar berkenaan.

“Saya tak boleh nak mengesahkan sama ada laporan itu benar atau tidak sebab siasatan masih berjalan,” katanya.

Mengulas siasatan terhadap laporan itu, beliau mengesahkan polis sudah memanggil penulis berita itu bagi membantu siasatan.

Katanya, polis turut menyedari terdapat penularan berhubung identiti saksi dalam kes penculikan warga Palestin terbabit.

“Kita akan siasat semua perkara ini dan setakat ini, pihak kami masih belum menerima sebarang laporan,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini