comscore
Tumpuan :
Jenayah

Simpanan KWSP hangus diperdaya Macau Scam

Foto Hiasan

SEREMBAN: Gara-gara percaya dengan panggilan yang kononnya diterima dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang, seorang wanita sanggup mengeluarkan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM130,000 untuk diserahkan kepada sindiket Macau Scam.

Panggilan daripada ‘Sarjan Qayyum’ mendakwa identiti wanita yang berusia 56 tahun itu dikesan terbabit dengan sindiket penggubahan wang haram.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata mangsa yang bekerja di bahagian pentadbiran sebuah syarikat swasta mendakwa pada mulanya dihubungi individu dari sebuah syarikat insurans.

“Individu terbabit memaklumkan mangsa ada membuat tuntutan insurans, namun beliau menafikannya.

“Mangsa kemudian disambungkan kepada individu yang memperkenal diri sebagai Sarjan Qayyum kononnya dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang untuk membuat laporan,” katanya hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, sarjan berkenaan memaklumkan kononnya mangsa terbabit dengan kesalahan penggubahan wang haram dan diarahkan supaya tidak memberitahu kepada sesiapa mengenai tuduhan dakwaan itu.

“Mangsa kemudiannya disambungkan kepada pendakwa raya yang mengarahkannya membuat kad bank baharu, jika mahu menyelesaikan kes.

“Mangsa ke sebuah bank di Seremban 2, di sini, pada 25 Januari lalu untuk membuat kad bank baharu dan mengikut setiap arahan pendakwa raya berkenaan, termasuk mengubah nombor telefon rujukan akaun baharu kepada 014-690 8266.

“Mangsa juga mengeluarkan duit KWSP sebanyak RM130,000 dan memindahkan ke akaun bank baru itu,” katanya.

Beliau berkata, semalam, mangsa bagaimanapun mendapat tahu semua wang dalam akaunnya berkurangan RM141,000 dengan beberapa transaksi.

“Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Labu, Nilai, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini