comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket dadah dalam bungkusan teh bernilai RM13.5 juta tumpas

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua dadah yang dirampas terdiri daripada 308 kilogram syabu dan 73 kilogram ketamin.

Oleh: Hilmi Abdul Malik

SERDANG: Polis berjaya menumpaskan sindiket dadah yang berlindung di sebalik bungkusan teh bernilai RM13.5 juta di Puchong pada 17 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua dadah yang dirampas terdiri daripada 308 kilogram syabu dan 73 kilogram ketamin.

“Modus operandi sindiket menggunakan sebuah rumah teres dua tingkat untuk dijadikan stor simpanan dadah.

“Operasi turut berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang bertindak sebagai pengedar dan telah direman selama tujuh hari bermula 18 Jun.

“Hasil semakan terhadap suspek bagaimanapun tidak menemui sebarang rekod lampau serta negatif dadah,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang hari ini.

Mengulas lanjut, polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Hyundai Sonata yang mempunyai ruangan khas bagi memuatkan 80 kilogram dadah.

Suspek yang ditahan katanya dibayar gaji RM6,000 dan tertumpu kepada kerja-kerja pembungkusan dan pengedaran dadah.

Ujarnya lagi, kesemua dadah yang dirampas mampu membekalkan seramai 1.8 juta penagih bagi pasaran di sekitar Lembah Klang.

Polis bagaimanapun sedang memburu beberapa lagi suspek sindiket termasuk individu yang merupakan penyewa rumah berkenaan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini