HOME / Jenayah

Sindiket Kartel Tender Projek Kerajaan: Pegawai Kanan Kerajaan Ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan di sebuah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam kerana disyaki turut terlibat dalam sindiket kartel tender projek kerajaan.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di kediamannya di Ampang tengah malam tadi.

“Lelaki itu dipercayai menerima rasuah sebanyak RM1.2 juta membabitkan empat kali transaksi pembayaran bagi membocorkan maklumat berhubung spesifikasi projek-projek kepada ketua sindiket kartel bagi memudahkan penyediaan dokumen tender.

“Hasil risikan juga mendapati beliau dipercayai terlibat dalam kerja-kerja penyediaan Bill of Quantity (BQ) bagi projek-projek yang ditawarkan,” kata sumber.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan namun enggan mengulas lanjut.

Semalam, SPRM berjaya melumpuhkan sindiket kartel tender projek kerajaan dengan penahanan tujuh individu termasuk ketuanya dalam operasi yang dijalankan.

Kesemua mereka dilaporkan memonopoli sejumlah 354 tender beberapa kementerian serta agensi kerajaan di seluruh negara melibatkan projek berjumlah RM3.8 bilion sejak 2014 hingga kini dan modus operandi sindiket dipercayai menggunakan lebih 150 syarikat bagi memasuki tender atau sebut harga di kementerian serta agensi terlibat. – BERNAMA