comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket minuman keras dan rokok lebih RM2 juta tumpas

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang menunjukkan barang seludup yang dirampas

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Cubaan seludup minuman keras dan rokok pelbagai jenama dianggarkan RM2.8 juta ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang berkata, serbuan dan rampasan dibuat di tiga lokasi berasingan yang dilaksanakan secara kolaborasi strategik di antara unit, cawangan atau bahagian di JKDM Zon Sabah.

“Dengan tambahan 66 unit mesin pengimbas dan perolehan 20 ekor Anjing Pengesan Dadah (APD), semua unit, cawangan di Bahagian Penguatkuasaan komited untuk menguatkuasakan perundangan yang ditadbir dengan lebih berkesan.

“Sebelum ini kebanyakan kes kita masih dalam siasatan untuk tahun ini dan mungkin ada kebarangkalian rangkaian yang sama,” katanya dalam satu sidang media, di Menara Kastam, di sini, hari ini.

Menurut Siti, kes pertama melibatkan rampasan rokok 214,000 bungkus dianggarkan bernilai RM428,000 dan melibatkan cukai bernilai RM2.8 juta ringgit.

Beliau berkata, serbuan dilakukan pada 26 September lalu kira-kira jam 5.00 petang di sebuah stor tidak bernombor di Jalan N.C. Mogunting, Kampung Hubah, Penampang.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang

Hasil pemeriksaan, tiada penghuni dikesan dan sejumlah rokok dijumpai disyaki tidak berkastam disimpan di dalam premis berkenaan.

Modus operandi menjadikan stor yang tidak berpenghuni sebagai tempat penyimpanan barang-barang yang tak berkastam dan kes masih disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Kes kedua pula melibatkan tiga kes rampasan minuman keras yang dijalankan pada 30 September di tiga premis berasingan sekitar Bandaran Berjaya, di sini.

Pada jam 8.00 malam seorang lelaki tempatan, 61, yang juga dipercayai pemilik premis ditahan kerana menyimpan minuman keras tidak berkastam tersebut berjumlah 429 tin bersamaan 139.02 liter bernilai RM542.59 dan melibatkan cukai sebanyak RM2,185.73.

Serbuan di premis kedua pula pada jam 8.30 malam melibatkan penahanan seorang wanita tempatan, 41, juga disyaki pemilik premis yang menyimpan minuman keras disyaki tak berkastam tersebut berjumlah lapan karton bersamaan 53.76 liter yang dianggarkan bernilai RM203.75 dan melibatkan cukai sebanyak RM833.50.

Manakala di premis ketiga pada jam yang sama serbuan telah menemukan minuman keras disyaki tidak berkastam sebanyak lapan karton bersamaan 61.92 liter dianggarkan bernilai RM234.68 dan melibatkan cukai sebanyak RM930.44.

Seorang wanita tempatan berumur 50 tahun yang dipercayai pemilik premis ditahan dalam serbuan itu.

Ujar Siti, modus operandi ketiga-tiga premis adalah menjual minuman keras yang tidak berkastam di premis dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Premis perniagaan kalau kita lihat menjual minuman keras di premis terutama bir memang ada lesen perlu dijual yang memang dah dibayar duti atau bayar cukailah jadi dalam kes ni yang dijual belum tak berkastam,” katanya.

Kes ketiga melibatkan rampasan minuman keras disyaki tidak berkastam sebanyak 1,830 karton bersamaan 14,736.81 liter yang dianggarkan bernilai RM55,852.51 dan melibatkan cukai sebanyak RM228,479.50.

Siti berkata, serbuan dilakukan pada 1 Oktober lalu, kira-kira jam 2.00 pagi, bertindak atas maklumat risikan, Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu dengan bantuan Pasukan Cobra Zon Sabah telah melaksanakan serbuan di kawasan sebuah syarikat pengangkutan di Kota Kinabalu.

“Hasil daripada serbuan, sebuah lori yang membawa sejumlah minuman keras jenis bir yang disyaki tak berkastam telah dirampas. Pemandu dan kelindan telah ditahan untuk siasatan.

“Pemeriksaan lanjut di sekitar lokasi serbuan dilakukan, dua buah lori yang berisi muatan minuman keras jenis bir yang disyaki tak berkastam dijumpai.

“Semua barang kes, termasuk pemandu dan kelindan, telah ditahan dan dibawa ke Pejabat Wisma Penguatkuasaan Sepanggar, Kota Kinabalu dan kes disiasat dibawah seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya.

Susulan kes itu, Siti menggesa orang ramai untuk membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini