comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket pelaburan guna nama Goldman Sachs untuk perangkap mangsa – Polis 

KUALA LUMPUR: Sindiket yang memperdaya orang ramai dengan menyamar sebagai sebuah syarikat pelaburan terkenal dunia, Goldman Sachs, akhirnya tumpas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata sindiket berkenaan menipu orang ramai sehingga menyebabkan kerugian hampir RM11.4 juta.

Katanya menerusi Operasi Nuri 7/24 membabitkan beberapa siri serbuan di tujuh negeri iaitu Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sarawak pada 29 April lalu.

Beliau berkata, menerusi serbuan itu, pihaknya menahan 12 individu terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita, semuanya warga tempatan berusia antara 21 hingga 45 tahun.

“Serbuan ini adalah hasil risikan yang dijalankan selepas kita menerima 41 laporan polis daripada mangsa penipuan sindiket ini membabitkan kerugian berjumlah RM11.39 juta.

“Antara suspek ditahan termasuk yang berperanan sebagai pengarah syarikat dan pemilik perniagaan yang digunakan sebagai akaun keldai dalam aktiviti penipuan pelaburan yang dijalankan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat JSJK Bukit Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket penipuan ini beroperasi secara dalam talian dengan menggunakan nama syarikat pelaburan yang terkemuka di dunia iaitu Goldman Sachs bagi memperdayakan mangsa.

“Sindiket ini didapati menggunakan laman Facebook dan aplikasi WhatsApp sebagai medium pemasaran dan komunikasi dengan mangsa selain mengiklankan promosi pelaburan melalui laman sosial dengan aplikasi sistem algoritma Facebook.

“Skim pelaburan ini menawarkan pulangan yang tinggi iaitu 15 peratus hingga 200 peratus sebulan. Keuntungan pelaburan dijamin melalui bimbingan dan bantuan daripada pakar analisis pasaran modal atau ‘Cikgu Trader,” katanya.

Mangsa yang terpedaya, katanya akan diminta memuat turun aplikasi ‘Bam Pro’ dan ‘Baly Pro Apps ‘di telefon bimbit menerusi ‘App Store’ dan ‘Play Store’.

“Mangsa seterusnya diarahkan membuat pindahan wang pelaburan ke akaun syarikat keldai yang ditetapkan oleh sindiket.

“Mangsa akan menyedari telah ditipu apabila tidak dapat mengeluarkan wang keuntungan yang diperoleh,” katanya.

Ramli berkata, setakat ini sebanyak 29 kertas siasatan dibuka membabitkan sindiket ini dengan nilai kerugian RM11.39 juta.

“Siasatan mengenal pasti sebanyak 19 akaun bank membabitkan tiga syarikat dan 16 perniagaan disalahgunakan sindiket ini sebagai keldai akaun untuk menerima wang daripada mangsa.

“Kesemua suspek direman tiga hari sehingga semalam dan sudah dibebaskan dengan jaminan polis. Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu,” katanya.

Tambah beliau, sindiket ini didapati baharu aktif Februari lalu namun sudah berjaya memperdaya puluhan mangsa membabitkan nilai kerugian jutaan ringgit.

Justeru, katanya orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan terlalu lumayan dalam masa singkat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini