KUALA LUMPUR: Sindiket pelacuran yang menawarkan tempahan melalui laman sesawang tumpas hasil serbuan di empat hotel dan residensi berasingan sekitar ibu negara, malam tadi.
Hasil serbuan Bahagian Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur bermula jam 9 malam itu, seramai 15 ditahan termasuk 11 wanita warga asing disyaki pekerja seks, semuanya berusia antara 21 hingga 47 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Mohd Razali Mohd Idrus, berkata selain 11 disyaki pekerja seks, empat lelaki tempatan yang turut ditahan dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ atau pengangkut.
Katanya, sindiket dikesan menjalankan kegiatan pelacuran secara dalam talian dengan menggunakan laman sesawang klescsort69.com.
“Serbuan menerusi Op Noda menyasarkan aktiviti pelacuran melalui kaedah tempahan dalam talian dan pelanggan boleh memilih pelacur disukai melalui laman sesawang disediakan.
“Terdapat pelbagai pilihan pelacur daripada laman sesawang disediakan kebanyakannya dari luar negara iaitu Thailand, Indonesia dan Vietnam,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, bayaran ditetapkan untuk khidmat pelacur mengikut masa iaitu satu jam dikenakan caj RM400, empat jam (RM750), tujuh jam (RM1,100) dan 11 jam (RM1,700).
“Setelah ditempah, pelacur dihantar ‘transporter’ ke lokasi ditetapkan pelanggan di hotel sekitar ibu negara dan boleh juga ditempah untuk pelanggan yang mengadakan ‘private party’,” katanya.
Mohd Razali berkata, hasil serbuan juga pihaknya merampas tiga kereta, 16 telefon bimbit, 45 kondom, tujuh botol pelincir serta wang tunai RM1,351.
Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 372B dan Seksyen 372(1) Kanun Keseksaan, selain Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa