GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran jus dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan pelbagai jenis dadah lain susulan penahanan seorang lelaki tempatan di sini semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata suspek berusia 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di parkir kereta di kawasan Jelutong kira-kira 4.25 petang.
Beliau berkata pemeriksaan ke atas suspek menemukan 11 peket plastik pelbagai warna disyaki dadah jenis serbuk jus (MDMA) anggaran berat 259 gram bernilai RM3,300 dan sepeket plastik lutsinar mengandungi ketamin seberat 12 gram bernilai RM2,400.
“Susulan tangkapan itu pada hari sama, polis kemudian menyerbu sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan jus minuman MDMA di kawasan Jelutong.
“Hasil pemeriksaan di dalam rumah, polis merampas 1,134 peket plastik pelbagai warna dan 10 balang plastik lutsinar berpenutup dengan setiap satu berisi serbuk dadah jenis MDMA dengan anggaran seberat 37.695 kilogram (kg) bernilai RM560,040,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Hamzah berkata polis turut merampas tiga peket plastik lutsinar dengan setiap satu mengandungi serbuk dan ketulan dadah jenis ketamin seberat 76.8 gram bernilai RM15,360 dan128 biji pil ekstasi seberat 47.45 gram bernilai RM6,400.
Selain itu, turut dirampas 10 biji pil erimin 5 (11 gram) bernilai RM800 dan enam bekas plastik berisi cecair disyaki cecair dadah anggaran berat 47.7 gram bernilai RM1,800 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM590,100.
Katanya polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Proton X50 bernilai RM90,000 menjadikan jumlah rampasan dadah dan sitaan adalah RM680,100.
Hamzah berkata hasil risikan sindiket dipercayai baru bergiat aktif awal Mac lepas dan saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis benzo/ ketamin selain mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 30 Sept depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.