comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket penipuan kerja dalam talian tumpas, 13 warga asing ditahan 

KUALA LUMPUR: Polis menahan 13 warga asing disyaki terbabit kegiatan penipuan tawaran kerja dalam talian dalam serbuan di dua unit kondominium mewah di Jalan Ceylon, Bukit Bintang di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata serbuan bermula jam 8 malam itu hasil risikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Beliau berkata, seramai 13 warga asing termasuk dua wanita berusia lingkungan 23 hingga 38 tahun ditahan dalam serbuan itu.

“Hasil risikan mendapati dua unit kondominium itu dijadikan pusat panggilan sindiket penipuan tawaran kerja.

“Siasatan mendapati sindiket ini yang baru aktif sebulan menyasarkan mangsa di luar negara iaitu di United Kingdom dan China,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, semua warga asing yang ditahan dipercayai berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan.

Dalam serbuan itu, juga katanya polis turut merampas tujuh set komputer riba, 21 telefon bimbit dan sebuah modem.

“Semakan mendapati kesemua yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Mereka kini direman selama tiga hari mulai hari ini hingga Jumaat untuk siasatan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini