comscore
Tumpuan :
Jenayah

 [VIDEO] Sindiket penyeludupan di KLIA Kargo: 23 anggota, pegawai Kastam bakal didakwa

 


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: 23 anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan didakwa atas kesalahan bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup.

Dalam kenyataan hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, kesemua suspek akan didakwa di enam Mahkamah Sesyen berasingan di seluruh negara sepanjang bulan ini sehingga 6 Jun depan.

“Kesemua mereka akan didakwa di bawah kesalahan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan,” menurut kenyataan itu.

SPRM berkata, setakat ini dua pegawai JKDM telah dituduh di mahkamah berkaitan kesalahan sama.

Bermula 11 Mac lalu, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah melaksanakan Ops Samba 2.0.

Ops tersebut yang berakhir 25 Mac lalu menumpukan siasatan kepada anggota dan pegawai JKDM yang bertugas di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang berjaya mengesan ketirisan hasil cukai sebanyak RM2 bilion.

Menurut SPRM, ketirisan itu adalah kerugian hasil negara yang amat besar dan memberi impak negatif berterusan kepada ekonomi negara sekiranya tidak dibendung.

Dalam operasi tersebut, SPRM telah menahan 34 anggota dan pegawai JKDM dari gred 19 hingga 44 bersama 27 individu dan pemilik syarikat.

Berikutan penahanan individu berkenaan, Bahagian AML, SPRM telah merampas telefon bimbit, komputer riba dan lapan kenderaan mewah milik sindiket terbabit bagi membantu siasatan.

SPRM turut membekukan sebanyak 231 akaun bank milik individu, syarikat dan ‘akaun keldai’ berjumlah kira-kira RM18 juta yang terbabit dengan kegiatan sindiket penyeludupan berkenaan.

Dalam pada itu, sumber memberitahu Buletin TV3 bahawa SPRM mencadangkan kepada JKDM untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadap tujuh lagi anggota dan pegawai agensi berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan, SPRM telah mengesan modus operandi yang digunakan oleh sindiket iaitu melalui ‘forwarding agent’ yang bertindak sebagai orang tengah bagi membayar rasuah kepada penguat kuasa.

Menurut sumber, anggota pegawai JKDM yang bertugas dalam pemeriksaan kargo KLIA diberi sogokan sebagai balasan melicinkan proses penyeludupan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan yang sepatutnya.

Sindiket tersebut dipercayai melakukan perbuatan penyeludupan dan merasuah pegawai agensi penguat kuasa itu sejak tahun 2017 hingga tahun ini.

Hasil siasatan menunjukkan pegawai tersebut menerima rasuah kira-kira RM4.7 juta daripada sindiket melalui ‘akaun keldai’ untuk mengelak transaksi kewangan dikesan.

Sindiket juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, pengurup wang, kegiatan judi atas talian dan melalui syarikat pinjaman wang berlesen.

Didapati sebanyak 19 ‘syarikat hantu’ ditubuhkan dengan menjalankan pelbagai perniagaan aktiviti pengubahan wang haram bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini