comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket penyeludupan manusia warga Bangladesh tumpas, 8 ditahan

FOTO: JIM

Oleh: Azwaliza Azman

PETALING JAYA: Jabatan Imgresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia dan menahan lapan individu terdiri daripada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Bangladesh dalam satu Operasi Khas pada 16 Mei lalu di sebuah premis kediaman di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Pengarah Imgresen, Datuk Ruslin Jusoh, operasi yang bermula pada jam 7.02 malam itu melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Berdasarkan maklumat yang diterima, pasukan operasi telah diatur gerak ke premis kediaman dan bertembung dengan sebuah kenderaan Perodua Myvi yang dipandu oleh suspek secara mencurigakan di lot parkir premis tersebut.

FOTO: JIM

“Suspek yang memandu kenderaan tersebut mula memecut setelah menyedari kehadiran pasukan operasi tetapi berjaya dipintas.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi telah menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh yang disyaki sebagai ‘transporter’ berusia lingkungan 33 tahun bersama dua orang PATI lelaki warganegara Bangladesh.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, hasil siasatan awal, pasukan operasi telah memeriksa premis kediaman dan menahan lima orang PATI lelaki warga  Bangladesh.

Semua warga asing yang ditahan berusia lingkungan 21 hingga 38 tahun.

Semua warga  asing yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini.

Pasukan operasi katanya telah merampas 10 naskhah pasport Bangladesh, tiga unit  telefon bimbit, wang tunai sebanyak RM500.00 dan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipercayai untuk mengangkut PATI.

Modus operandi sindiket adalah dengan membawa PATI terutamanya warganegara Bangladesh yang ingin mencari peluang pekerjaan secara haram di negara ini dengan menaiki pesawat dari Bangladesh ke Vietnam dan dari Vietnam, PATI akan dibawa menaiki kereta ke Thailand.

Seterusnya, PATI dibawa menaiki bot dari Thailand untuk ke Kelantan dan ‘transporter’ warga tempatan akan membawa PATI ke premis kediaman di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur dengan menaiki kereta.

PATI kemudian akan dihantar ke lokasi yang dipilih sendiri setelah selesai membuat bayaran kepada agen warga Bangladesh yang berada di Malaysia.

“Hasil siasatan awal mendapati, sindiket mengenakan bayaran sebanyak RM13,000.00 hingga RM21,000.00 bagi setiap seorang PATI dan telah beroperasi selama dua bulan.” tambahnya.

‘Transporter’ berkenaan ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Sek. 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Warga asing yang lain ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Semua PATI ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

JIM tegasnya  komited untuk membanteras sindiket penyeludupan manusia dalam menguatkuasakan undang-undang demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini