comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket penyeludupan Rohingya tumpas, 6 ditahan

Foto: Jabatan Imigresen Malaysia/ Facebook

KUALA LUMPUR: Tindakan sindiket yang cuba menyeludup masuk etnik Rohingya menggunakan kereta dipatahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan seramai enam individu berjaya ditahan kelmarin.

Dalam serbuan pada jam 7.57 pagi itu, kesemua etnik Rohingya berusia antara 24 hingga 35 tahun ditahan Pasukan Taktikal Khas (Pastak) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Terminal Bas Ekspres Kota Bharu, Kelantan.

Ketua Pengarah JIM Datuk Ruslin Jusoh berkata, kejayaan itu susulan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama tiga minggu.

Menurutnya, pasukan yang diatur gerak bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira dipandu secara mencurigakan dan memecut kenderaan sebaik menyedari kehadiran pasukan.

“Kenderaan itu berjaya ditahan di Terminal Bas Ekspres Kota Bharu dan pemeriksaan menahan dua lelaki etnik Rohingya disyaki transporter serta pembantu.

Foto: Jabatan Imigresen Malaysia/ Facebook

“Bersama mereka terdapat dua lelaki etnik sama yang disyaki akan dibawa ke Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penahanan mereka membawa kepada serbuan di sebuah kediaman di Kota Bharu, Kelantan dan menahan dua lelaki etnik terbabit yang disyaki akan dibawa ke Kuala Lumpur.

Menurut Ruslin, hasil semakan mendapati empat lelaki memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) manakala dua lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah.

Susulan itu, katanya, pasukan merampas dua kad UNHCR disyaki palsu, wang tunai RM2,000 dan kereta Proton Wira yang digunakan untuk mengangkut pendatang asing tanpa izin (PATI)

“Modus operandi sindiket adalah menyeludup masuk PATI Rohingya ke negara ini melalui laluan haram di sempadan dan ditempatkan di rumah transit sebelum dibawa ke Kuala Lumpur menggunakan bas ekspres dengan diiringi seorang lelaki Rohingya yang datang dari Kuala Lumpur.

“Mereka yang baru masuk akan diberikan dokumen UNHCR disyaki palsu bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Bayaran yang dikenakan sindiket untuk penghantaran ke Kuala Lumpur adalah sebanyak RM500 seorang dan RM100 dikenakan untuk penghantaran sekitar Kota Bharu,” katanya sindiket itu dikesan beroperasi sejak setahun lalu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan kesemua mereka ditahan di Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah, Kelantan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini